Saturday, November 23, 2013

APA KHABAR? SIHAT?

Assalamualaikum dan salam sayang buat semua.

Maaf kerana telah lama menghilangkan diri, kesibukan diri dengan kerja yang tiada kesudahan menyebabkan ketiadaan masa untuk mengemaskini entri terkini di ruangan bebelan yang tidak seberapa ini. Untuk pengetahuan semua, Sarah kini berada di tempat orang. Dalam erti kata lain Sarah kini menjadi seorang perantau di atas bumi Allah ini. Iya, jauh beribu kilometer dari rumah dan dari keluarga. Sesungguhnya sedih apabila dalam usia sebegini diberitakan perlu ke luar negara bagi mencari rezeki. Alhamdulillah diberi kepercayaan oleh bos di pejabat untuk menjadi mata dan telinganya bagi menjaga salah satu pejabatnya di Australia, dan dengan penuh rasa rendah diri Sarah terima. Meski sudah hampir dua bulan Sarah disini, namun rasa sedih dan sebak teringatkan keluarga di kampung halaman masih terasa. Dan setiap kali teringatkan orang-orang nun di kampung sana, pasti Sarah akan semakin sibukkan diri dengan kerja yang sememangnya takkan pernah habis semua.


Tidak ada yang lebihnya apabila kita perlu bekerja ditempat orang bersendirian. Mengapa Sarah berkata demikian? Kerana pertama, kita datang ke sini untuk bekerja. Jadi, apabila niat di dalam hati untuk bekerja maka sudah tentu fokus kita akan tertumpu kepada kerja dan bagaimana caranya untuk kita cuba masuk ke dalam komuniti di suatu tempat yang gaya kerjanya jauh berbeza dengan tempat asal kita. Jika budayanya positif, alhamdulillah syukur sebab insya-Allah kita pasti tiada masalah untuk menyesuaikan diri, benar? Akan tetapi, bagaimana jika tidak seperti yang kita bayangkan? Apakah perasaan kita yang keseorangan dalam menghadapinya? Apakah tindakan yang perlu diambil untuk mengawalnya dan mengawal diri kita sendiri dari terjerumus ke dalam lubang besar yang telah sedia ada di tempat itu? Sangat perlu motivasi diri dan kawalan diri yang 'super' tinggi untuk memastikan diri sentiasa berdiri tegak apabila berjalan di jalan tersebut, dan sesungguhnya dalam kes Sarah di sini, perlu berjalan dengan tegak menggunakan tumit tinggi pula, sangat-sangat mencabar. Maksud tumit tinggi? Sarah seorang perempuan perlu menghadapi karenah para pekerja bukan sahaja perempuan, malah lelaki juga. Jadi dapat dilihat bagaimana Sarah perlu bersedia dari segi mental untuk menjalankan tugas disini. Insya-Allah. 

Kedua, adalah sangat berbeza apabila kita ditempat orang untuk bekerja dan bukan untuk makan angin. Kerana pada Sarah, jika Sarah keluar berjalan pada hari cuti dengan teman-teman serumah, sangat-sangat terasa kurangnya. Mengapa? Cuba bayangkan di pejabat dari Isnin hingga Jumaat, mereka yang kita jumpa, dan hujung minggu juga mereka yang kita habiskan masa. Terasa seperti berada di dalam penjara yang mana Sarah tidak dapat lepaskan diri. Lainlah jika Sarah punya saudara mara di tempat orang, mungkin dapatlah menghabiskan masa dengan mengunjungi mereka, kan? Tapi sayang, Sarah hanya orang asing yang juga perlu ambil angin di luar kebiasaan kerja seharian, bersama-sama teman yang ada di sini.

Walaubagaimanapun, insya-Allah jika tiada aral melintang Sarah akan pulang ke Malaysia Disember ini bercuti. Iya, benar. Bercuti. Rindu teramat pada keluarga. Sarah mahu habiskan masa cuti yang 'amat mahal' ini bersama-sama keluarga dirumah. Banyak jemputan kahwin diterima dan insya-Allah akan cuba masukkan kesemuanya dalam jadual singgahan dan kunjungan. 


P/S: Tolong doakan Sarah disini ya, ada masa terasa seperti 'alien' disini meski teman serumah dari Malaysia juga. Cuma mungkin gaya hidup mereka telah serasi dengan sini, jadi Sarah pasti dan yakin itu semua hanya dalam kepala Sarah cuma. (senyum)


Monday, July 15, 2013

MARI BERZAKAT :)

Salam Ramadan buat semua. Sekali lagi terima kasih kerana masih lagi sudi singgah membaca entri-entri dari Sarah yang tidak seberapa kini berbanding dulu. Nampaknya perlu Sarah cuba mencari alternatif bagaimana caranya untuk mendapatkan topik-topik serta idea kreatif untuk membebel disini, huhuhu..

Baiklah, memandangkan kita kini berada di bulan yang semulia-mulia bulan, Sarah juga merasakan ingin mengisi coretan berkaitan yang berkaitan serta mempunyai hubung kait yang amat rapat, ZAKAT.



MAKNA ZAKAT
DARI SEGI BAHASA:
Zakat bererti bersih dan suci. Ia membawa makna pembersihan dan kesuburan, kerana dengan mengeluarkan zakat, maka harta pencarian dan simpanan menjadi bersih. Bersih daripada sesuatu yang haram dimiliki, iaitu hak-hak orang lain yang telah diwajibkan kita untuk mengeluarkannya serta hasil pencarian dan pendapatan tersebut akan diberkati Allah S.W.T.

DARI SEGI SYARAK:
Zakat bermakna mengeluarkan sebahagian atau hak milik kepada mereka yang layak menerimanya dengan kadar tertentu setelah mencukupi nisbahnya dan sampai masanya satu tahun atau telah sempurna menuai (bagi tanaman).

* Orang yang mampu dan cukup hartanya setiap tahun WAJIB mengeluarkan zakat. Sebaliknya seorang Islam yang tidak cukup hartanya satu nisab, tidak wajib baginya mengeluarkan zakat.



JENIS-JENIS
1. Zakat Badaniah
    Zakat tubuh badan atau zakat fitrah. ( yang ini Sarah WAJIB bayar :)  )


2. Zakat Maliah
    Zakat harta benda seperti wang, perniagaan, binatang ternakan dan sebagainya.

SYARAT-SYARAT
1. Islam
2. Merdeka 
    (bukan hamba)
3. Mempunyai harta yang lebih 
    (daripada keperluan diri serta tanggungan pada hari Raya dan malamnya)

Baiklah. Rasanya buat permulaan ini Sarah coretkan perkara asas mengenai zakat dahulu. Sarah percaya ramai antara kita mengetahui tentang perkara ini kerana kita semua telah pun diajar sewaktu kita bersekolah dahulu, bukan begitu? Jadi mustahil jika tidak tahu kan? Kecualilah jika apa yang dipelajari itu dahulu hanya sekadar 'hafalan' untuk 'lulus peperiksaan dengan cemerlang' agar mendapat tempat di institusi-institusi yang terkenal dan hebat untuk menyambung pelajaran.

Namun, jika tidak ingat, tidak mengapa. Insya-Allah Sarah akan cuba untuk mengemaskini topik zakat dalam catatan seterusnya jika ada antara yang tidak ingat ingin 'refresh memory' itu. Jika ada kelapangan Sarah akan update dalam masa terdekat.

** Pssttt... Jangan lupa puasa penuh bagi yang mampu yang tiada keuzuran ye... Dan paling penting bulan inilah dimana kita dapat membuat pahala mewah dengan paling mudah setiap malam, JANGAN LUPA BERTERAWIH juga. :)


 

Monday, July 8, 2013

APABILA TERLALU BIASA MENYAMPUK...



Salam sayang semua. Bebelan kedua untuk hari pertama pada minggu yang baru? Wahh... Satu peningkatan wahai cik Sarah yang senget. Eh, senget ke? Lebih kurang lah agaknye yer, huhuhu

Baiklah, tanpa mahu membuang masa, bebelan kali ini berkaitan gambar yg disertakan. Pernah atau tidak apa yang kita percayakan (atas dasar semangat saudara se-Islam), tiba-tiba ada yang 'mencelah' malah seolah-olah mempertikaikan bahawa kepercayaan kita itu salah. Dan paling teruk yang mempertikai itu bukanlah seagama dengan kita pula...

Gambar ni Sarah 'screen-shot'kan dari status FB seorang rakan. Dia ada mengadu pada Sarah memanglah bagus kawan-kawan sentiasa ada 'tolong memeriahkan' tapi bila bab berkaitan agama macam ni, katanya tak perlulah nak 'tolong komen' sekali. Sarah rasa betul juga, sebab dengan situasi keadaan isu politik yang 'hangat' sebentar tempoh hari sewaktu pilihanraya, kini ada pula mahu memberi pendirian tentang kefahaman kita sedangkan mereka adalah berlainan fahaman. Apa dia? Berdiskusi? Sarah dan kawan Sarah ini bukanlah 'kaki berdiskusi' mahupun orang yang petah berkata-kata, kami orang-orang normal yang hidup mahukan keadaan aman damai.

Akan tetapi, seberapa lamakah keadaan aman damai ini mampu bertahan?

Posted via Blogaway V4.6

RAMADAN 1434 BAKAL MENJELMA.



Salam sayang semua.
Semakin hari semakin meningkat naik umur kita.
Dan semakin lama semakin hampir kita dengan penghujung hidup kita, benar?
Namun begitu, Sarah merasakan seolah-olah diri begitu masih banyak yang perlu diperbaiki, begitu kurangnya amalan yang bakal dibawa sebagai bekal kelak.
Sesungguhnya, diri amat kerdil di muka bumi Allah s.w.t.
Malah dikebanyakkan masa, setiap kali melihat mereka yang begitu khusyuk dalam mengerjakan ibadah, melihat mereka yang sedang mempersiapkan diri untuk menunaikan jemputan Allah, sebenarnya Sarah amat cemburu.
Cemburukan mereka kerana Sarah masih disini dalam cubaan memperbaiki diri sedangkan orang lain telahpun mencapai satu level yang lebih tinggi, Sarah masih di level yang mana pada mata Sarah adalah biasa sahaja.

Err... Cik Sarah, dah datang yer rasa 'senget'... Huhuhu, mungkin. :P

P/S: Selamat menyambut Ramadan buat semua umat Islam baik di Malaysia mahupun di seluruh dunia.


Tuesday, July 2, 2013

GALAU DATO SITI PENUH MAKNA.



Salam sayang Sarah ucapkan untuk hari ini.

Sebentar tadi Sarah terdengar lagu dendangan Dato Siti 'Galau' dan benar lagu itu tidak sebaru mana pun.

Namun kerana setiap hari mendengar lagu ini, terdetik di hati Sarah ini bahawa alangkah indahnya seni didalam lirik lagu ini kerana ia mengingatkan kita bahawa tidak kira betapa sibuk kita dalam mengejar kemewahan untuk kegunaan dunia, sisakan sedikit waktu untuk yang setia menanti.

Sungguh indah.

P/S: mood? Jiwang karat lah pulak cik Sarah senget kita yer..huhuhu

Posted via Blogaway V4.6

Monday, July 1, 2013

FIRST JULY 2013 / 22ND SYAABAN 1434H



Salam sayang semua. Hari ini hari pertama dalam bulan Julai bagi tahun 2013. 
Atau bersamaan dengan 22 Syaaban di dalam 1434 Hijrah. 
Sesungguhnya hanya tinggal 8 hari sahaja lagi kita berada di dalam bulan Syaaban sebelum kita mulai bulan Ramadhan. 
Alhamdulillah. 
Allah masih memberi kesempatan kepada cik Sarah senget untuk merasai nikmat Ramadhan dan Syawal. 
Insya-Allah
Dan selamat menyambut Ramadhan al-mubarak buat semua teman-teman Sarah tidak kira dimana jua mereka berada.

Bagaimana persediaan cik Sarah menjelang Ramadhan ini?
Seperti tahun-tahun sudah, bersederhana sahaja.
Tetapi setiap kali waktu berbuka, wajib ada buah kurma dan paling penting...
Nasi kerabu.
Wahhh...
Tiba-tiba teringat pada nasi kerabu.
Nak pergi pasar sebentar,
memandangkan hari ni Sarah bercuti,
nak mintak Mama buatkan nasi kerabulah.

Hehehe...
Owhh... Masakan ibu kita adalah terbaik.
Bukan begitu?



p/s: Tak sabar nak bersibuk-sibuk buat kuih raya kat dapur beramai-ramai dengan adik-adik Sarah.
Harap-harap diorg balik bercuti awal :) 

Friday, June 28, 2013

MENGAPAKAH?

Salam sayang semua. Cuaca kini teramat panas diluar meskipun hujan kerap turun membasahi bumi sejak dua tiga hari yang lepas. Sarah harap tiada yang terlalu mengikut rasa 'panas' didalam hati biar apa pun insiden yang berlaku kerana itu merupakan dugaan dan sesungguhnya kita kini semakin menghampiri Ramadhan. Semoga bertambah iman kita apabila semakin bertambah umur, insya-Allah.


Baiklah, nampak tak gambar yang Sarah sertakan di atas ini? Iya, Sarah percaya ramai yang dapat mengagak siapakah gerangan meskipun gambar mukanya dikaburkan oleh pihak akhbar. Alangkah sayangnya hidup bergelumang dengan perkara sedemikian. Sebagaimana yang Sarah tahu (melalui media), khabarnya ibunya sedang melawan penyakit kanser akan tetapi dirinya terlibat dengan perkara ini sehingga ditahan kerana memiliki dadah buat KALI KEDUA! Mungkin kali pertama dia masih boleh menafikan dengan mengatakan dadah itu bukan miliknya walaupun ternyata ditangkap di dalam rumah sendiri, tetapi kali kedua? Masih mahu menafikan? Sarah tidak pasti apakah masalahnya sehingga di tangkap kali kedua dengan dadah ada di dalam simpanannya tetapi alangkah baiknya jika masa dan wang yang dipunyainya digunakan dengan lebih berfaedah? Seaungguhnya Sarah sangat merasakan amat kasihan kepada ibunya. Sudahlah sakit, anak pula ditangkap lagi dengan kes yang sama. Seolah tiada rasa penyesalan selepas ditangkap kali pertama. Apakah merasakan diri itu hebat apabila dapat mengelakkan diri dari undang-undang sebelum ini?


#Jika Sarah berada di tempat ibunya, pasti Sarah kecewa yang teramat. Sedih melihat mereka yang bukan setakat baru mencuba, tetapi yang tegar mengambil dadah. :(


Wednesday, June 26, 2013

WATAK HERO TENGGELAM KEPADA WATAK JAHAT

Gambar ihsan Encik Google :)
Salam sayang semua.

Sudah lama cik Sarah menyepi, kesibukan yang tidak dapat dielakkan dan beberapa percubaan cik Sarah untuk 'mencuri masa' juga tidak berjaya. Maka dengan sedihnya, ruangan bebelan ini semakin menyepi sejak akhir-akhir ini.



Antara teraju utama :)

Baiklah, cukup dengan intro pendek diatas. Sebagaimana yang tertera di tajuk, kali ini cik Sarah mahu membebel tentang filem terbaru yang baru cik Sarah tonton tempoh hari. Man of Steel, atau lebih tepat filem Superman versi 2013. Seperti kebanyakkan filem Superman yang lain, filem ini berkisar tentang kisah watak utamanya iaitu pendatang dari planet Kripton ke bumi iaitu Kal-El a.k.a Clark Kent dan mengikut pemahaman cik Sarah lah ye, dialah satu-satu warga akhir planet tersebut kerana telah dihantar ke bumi oleh ibubapanya demi menyelamatkan nyawanya dari musnah bersama planet tersebut (entah betul atau tidak pemahaman Sarah tentang ini kerana sejak kecil menonton filem atau kartun Superman inilah yang Sarah ingat huhuhu). Dan demi menjaga identitinya keluarga angkatnya dibumi mengajarnya untuk bersabar dengan apa jua keadaan maupun situasi dialaminya, dan dia mahir dengan sifat tersebut.

Apakah itu semua ada dalam filem ini? Jawapannya, iya. Dan bagi cik Sarah, filem ini kurang 'thrill'nya kerana tiada aksi yang biasa dilihat apabila Clark Kent berusaha mencari jawapan untuk kejadian aneh tatkala melawan Luthor Corp dalam Smallvile. Bagaimana dia melawan dengan ketidakbenaran di dalam Smallvile, dan wataknya lebih menyerlah di dalam Smallvile berbanding dalam Man of Steel. Dan dari mata kasar Sarah, dalam filem ini watak jahat oleh General Zod lebih menyerlah berbanding Superman, mungkin kerana dialog untuk Superman kurang berbanding General jahat itu, yang mana Sarah lihat pembawakan pelakon yang membawa watak jahat ini 'facial expression'nya lebih hebat yang mana watak Superman hanyalah bermodalkan 'six-pax'nya sahaja. Dan, cik Sarah rasa 'bosan' menonton watak Superman. Serta 'outfit' Superman kali ini juga kurang menarik, warnanya malap. Betul ada pengubahsuaian yang mana 'warna merah' sebelum ini yang ketara dibahagian luar pakaian itu telah pun 'dimansuhkan', namun penggunaan tona warna pada 'outfit' seorang hero yang malap sebegitu amat  mengurangkan daya penarik pada hero itu sendiri. Dan apabila kemalapan watak ditambah dengan kemalapan outfit nya, dengan secara automatiknya filem ini tidak dapat cik Sarah ketegorikan bagus, tetapi hanya biasa sahaja.

Antara babak di dalam filem ini :)
Namun ini hanyalah pandangan cik Sarah yang senget ini. Jadi jika ada yang berpandangan berbeza dengan cik Sarah maaf lah ye.

#oh ya, kenapa pelakon yang melakonkan Superman sebelum ini, Brandon Routh tidak diambil semula? Sarah rasa dia lebih sesuai membawa watak ini. Kerana Sarah rasa aura dia bila membawa watak Clark Kent lebih menarik berbanding Henry Cavill. :)

##Nak beritahu juga, cik Sarah tak rasa rugi pun menonton sebab teman cik Sarah yang belanja menonton. Jadi, tak rugi kan...? Huhuhu

Para Superman.
Favorit Sarah yang tengah tu :)
Posted via Blogaway V4.6

Saturday, June 1, 2013

BOLASEPAK MALAYSIA :)



Jadi, inilah piala yang menjadi rebutan kelab-kelab bolasepak dalam Malaysia ye...

Hurmm... Piala FA. Sebenarnya Sarah pun sebelum ini tak pernah pun mahu ambil pusing tentang apa-apa jenis piala pun. Akan tetapi memandangkan insiden yang berlaku tempoh hari dalam perlawanan separuh akhir kedua yang dikhabarkan ditunda ke tarikh lain, wahhh sememangnya hebat!

Kenapa Sarah katakan hebat? Iyalah, sebelum ini, rasa-rasanya minat penduduk Johor terhadap sukan bolasepak tidaklah sebegitu sekali. Rasanyalah kerana Sarah jua tidak berapa mengenali yang mana satu Team Johor yang mana satu Team JDT. Serius! Dan apabila TMJ mengambil alih dan melakukan transformasi, wah serta-merta rasa minat dan perasaan menyokong wujud dalam diri kebanyakkan anak-anak Johor. Tidak perlulah saling mengutuk kerana sesungguhnya kita perlu menyokong kebangkitan sukan dalam negara kita. Jika bukan kita, siapa lagi? Betul?

# Tidak sabar ingin tahu siapakah bakal layak ke final esok. Adakah..? Eh..?



Posted via Blogaway V4.6

Friday, May 31, 2013

TERINGAT SATU KISAH



Salam sayang semua. Bagaimana kehidupan para pembaca setia omelan Sarah disini? Baik? Sihat? Alhamdulillah.

Baiklah. Sarah tidak mahu introduksi panjang lebar kerana tajuk entri Sarah kali ini sedikit kasar kerana menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia yang begitu kuat 'menyatakan' 1Malaysia.

Nampak tak gambar yang Sarah sertakan sekali bersama entri ini? Ya, bersifat racist bukan? Jadi, dimana bermulanya semua ini? Siapa yang perlu dipersalahkan dalam masalah sebegini? Eh, tak baik cik Sarah. Entah-entah ada orang sengaja mereka cerita untuk membakar suasana... Baiklah, Sarah lebih suka bersikap positif, mungkin benar ada yang mereka cerita sebegini. Tetapi dalam pada itu, mungkinkah perkara yang diuar-uarkan ini benar-benar berlaku, bagaimana pula ya?

Baiklah, sekarang Sarah ingin bercerita akan kisah yang pernah berlaku. Menyakitkan telinga bila mendengar dan menyakitkan mata apabila melihat. Sebelum Sarah bekerja dengan syarikat yang sekarang ini, Sarah pernah bekerja di sebuah syarikat milik penuh bangsa tionghua di salah sebuah daerah di dalam Johor. Syarikat yang kepunyaan bangsa tionghua, sudah tentu 'top management' semua dari kalangan mereka juga, sudah tentu semua orang tahu akan itu. Dan ada satu hari apabila salah seorang Pengurus ini memerlukan barang dari kilang dengan kadar segera kerana ada pelanggan menanti, maka perlulah ikut prosedur meskipun prosedur biasa memakan masa dalam 2-3 jam untuk membolehkannya membawa barang tersebut untuk pelanggannya. Akan tetapi sewaktu dia meminta salah seorang kerani untuk segera menyiapkan segala dokumen yang diperlukan untuk dia, tibalah masalah yang mana bakal membuatkan 'sumpah seranahnya' begitu murah di mulutnya. Pasti ramai yang mengatakan kenapa kerani itu tidak buat segera seperti yang di pinta. Baiklah. Sepatutnya, sebagai seorang Pengurus, dia perlu berjumpa dengan pembantu dia minta dia uruskan segera kerana pada level kerani tiada kelulusan segera untuk meminta Pegawai Akaun untuk melepaskan dokumen mahupun invois. Jadi, memandangkan Sarah faham bahasa Mandarin dan sumpah seranahnya sememangnya menyakitkan hati. Antaranya berbunyi,

"BODOH PUNYA BETINA MELAYU, AKU NAK CEPAT BUKAN NAK DUDUK-DUDUK MAKAN ANGIN!"

dan ada lagi yang lain, tak perlu Sarah panjangkan kerana lebih menyakitkan hati apabila mendengarnya. Mungkin dia terlupa bahawa ada yang faham kata-katanya atau memang dia sengaja memang mahu Sarah mendengarnya sendiri.

Jadi, apa point Sarah nak tunjukkan disini? Baiklah. Tidak semua orang melalui apa yang pernah Sarah lalui ini. Manusia zaman kini lebih banyak bersifat pentingkan diri, terutama jika dimainkan kisah bangsa di telinganya. Perlulah berhati-hati, jangan sampai mereka bergelak ketawa melihat kebodohan kita itu. Dan sesungguhnya, walau tidak semuanya begitu, namun tetap ada yang racist seperti ini. Mungkin di mulut mereka mengatakan,

"EH, KENAPA NI RACIST MENGATA KAMI ORANG CINA! KENAPA AKHBAR SEKIAN-SEKIAN RACIST MENGATA KAMI ORANG CINA...BLA BLA BLA"

tetapi silakan selidiki dahulu setiap akhbar mereka, setiap tulisan mereka, setiap 'posting' mereka sebelum melulu menunding jari pada muka sendiri mengatakan diri sendiri racist. Banyak yang Sarah telah dengar, banyak yang Sarah telah lihat. Maka, setiap kali melihat bagaimana orang yang kerap dikutuk dicerca dan dihina, tetap mempertahankan orang yang mengutuk mencerca dan menghina mereka itu. Sedih memang sedih.

Akhir kata, maaf kerana kali ini entri Sarah berbaur perkauman. Sudah tidak tertanggung rasanya menyimpan rasa marah ini apabila melihat kebanyakkan orang Melayu dipergunakan oleh mereka dan kita masih tidak sedar. Dan yang paling sakit hati sekali, bangsa mereka boleh bersatu hati tanpa berpecah belah pun, sedangkan bangsa Melayu?



Posted via Blogaway V4.6

Sunday, May 19, 2013

I'M NOT SURE I'M THAT STRONG LIKE HER



Seseorang itu memerlukan kekuatan yang luar biasa untuk melakukan sebagaimana dilakukan oleh aktres Hollywood ini, Angelina Jolie.
Walaupun dia hanya membuat pemeriksaan bagi melihat sama ada dia mempunyai risiko yang tinggi atau sebaliknya,namun apabila mengetahui dia juga menjadi pembawa gen barah yang diwarisi dari mendiang ibunya, dia nekad membuangnya meskipun belum dijangkiti oleh penyakit tersebut.

Bagi Sarah pula, tak mungkin Sarah dapat menjadi sekuat itu untuk melawan.
Tetapi itulah, mungkin dia memperolehi kekuatannya itu dari anak-anaknya.



* Akan tetapi apa yang paling penting, sokongan moral dari orang yang tersayang seperti keluarga amat berharga dikala membuat keputusan sepertinya. 


Tabik 'spring' pada Angelina Jolie. 
:)


Monday, May 6, 2013

FIRST DAY AFTER PRU13

Salam hari pertama setelah PRU13. Jadi, siapakah yang cik Sarah pangkah semalam? Hurmm... Tidak kira siapapun, undi Sarah itu, Sarah harap orang hormat pilihan peribadi Sarah, dalam erti kata lain undi Sarah adalah rahsia meskipun segalanya usai sudah semalam dan keputusan sudahpun diperolehi. Namun, sila lihat gambar yang Sarah muat naik dibawah ini, gambar bendera parti masih berdiri gagah sebelah menyebelah. Sarah lebih suka jika yang bendera hijau itu bergabung dengan bendera berwarna merah berserta keris itu, kerana ia dapat menggambarkan bagaimana perpaduan bangsa Melayu beragama Islam, 'instead of' sekarang bagaimana bangsa Melayu lebih 'gemar' berpecah-belah meskipun mereka seagama.
Sayang seribu kali sayang, meskipun kali ini kemenangan banyak berpihak kepada roket, namun masih ramai yang masih belum dapat mencapai kata sepakat untuk bersatu atas nama Islam. Dan khabarnya, akan ada perhimpunan 'clean V. 4.0', benarkah? Mana cik Sarah tahu ni? Hmm...!! Ada teman Sarah beritahu pagi tadi, katanya dia dijemput untuk menyertai. Kata teman Sarah itu,

"Gila apa? Aku langsung tak suka perhimpunan bersih versi ke berapa sekalipun, yang diorang invite aku untuk join dah kenapa?"

Tak pasal-pasal, Sarah pula yang terheret sama mendengar omelannya itu, isk isk isk

#bersabarlah cik Sarah senget yer, almaklumlah dah lama sangat berehat tak gitu..huhuhu

Thursday, May 2, 2013

DISCHARGED.

Salam sayang buat pembaca yang masih sudi singgah membaca bebelan Sarah meskipun Sarah kurang menulis kini. Maaf kerana Sarah telah dikuarantin oleh mama dan dengan itu segala gajet berkaitan telah dirampas. Kata mama,

"Mama tahu along rehat, tidur cukup. Mama tak mahu tengok along tekan atau picit komputer atau telefon pintar along tu semua."

Wah, dapat special treatment dari mama tersayang cik Sarah senget kita ye..? Special? Iya, memang special sampaikan Sarah perlu dijauhkan dari teknologi kerana mama tahu Sarah akan tegar mengadap gajet meskipun kesihatan tidak mengizinkan. Huhuhu, buruk perangai? Maaflah, sudah kebiasaan jika tidak dapat tidur, terutama kalau Sarah sedang tidak sihat memang sampai hampir subuh Sarah masih mampu untuk berada atas talian, hehehe

Macamana boleh tidak sihat ni cik Sarah oii... Hehe, gara-gara terjangkit demam dari anak buah Sarah yang demam selsema tempoh hari lah ni. Apabila terjangkit sahaja, memang parah. Sarah kena tahan wad untuk masuk air, sebab badan kekurangan air yang amat sangat. Dan apabila tangan sudah dicucuk jarum segala, mama pun segera menyorokkan semua telefon bimbit yang ada dalam simpanan Sarah. Katanya tak perlu sibuk-sibukkan internet. Ofis pun dah tahu Sarah masuk wad. Jawabnya? Akur akan situasi di waktu itu kerana badan terlalu lemah.

Selama mana Sarah tidur, Sarah sendiri tidak pasti. Tapi yang pasti setiap kali Sarah terjaga, selesai makan dan makan ubat pasti Sarah akan kembali 'pengsan'. Terasa masa berjalan amat lambat kerana Sarah merasakan betapa lambatnya proses badan ini untuk sembuh.

Kalaulah badan ini sekuat Superman, kan best... Tak 'lut' dek senjata apa pun, kecuali 'kryptonite'. Hehehe (Tiba-tiba nak jadi watak superhero pulak ye cik Sarah? Confirm baru lepas makan ubat ni, sebab itu imaginasi bukan main lagi nak jadi superman, he he he..)

#rindu nak masuk ofis, dah masuk minggu ke-2 MC ni. Kepala ini semakin 'weng' memikirkan banyak kerja bakal menanti apabila Sarah kembali ke pejabat minggu hadapan.

##strawberry oh strawberry...thanks to my babe, Sha for the strawberry  :)

Thursday, April 11, 2013

ALAHAI... MY BROTHER.

Assalamualaikum & salam petang. Wahh...satu peningkatan! 'Bebelan' kedua cik Sarah senget kita hari ini! Nampak sangat cik Sarah kita kurang kerja untuk dikerjakan di pejabat, huhuhu (sila kagum dari jauh dan senyum lebar kerana Sarah sedang senyum teramat lebar sekarang hehehe)

Baiklah, tanpa membuang masa sebelum Sarah terlupa apa yang ingin Sarah coretkan disini, sebenarnya pagi tadi mama Sarah hantar sms pesan agar Sarah menasihatkan adik kedua Sarah yang telah berkeluarga sedikit. Kata mama,

'jika diri tu tak boleh nak tegur bini sendiri tu buat apa kahwin dulu?'

Iskk... macamana Sarah nak sampaikan pesanan bab-bab masalah sebegini? Adoiiii-laaa... Takkan Sarah yang belum cukup makan asam garam sehingga peringkat rumahtangga nak tegur orang yang sudah punyai 2 orang anak? Peninglah Sarah macam ni. Di pejabat dengan masalah orang-orang pejabat, di rumah pula..? Gulp! Terasa seperti Sarah telahpun mengambil salah bidang pengajian dahulu. Patut ambil bidang psikologi, kan???

Apa masalah sampai mama Sarah marahkan adik Sarah itu? Hmm.. Adik Sarah tu sudah lebih sebulan tak balik ke rumah menjenguk mama. Selain daripada itu, setiap kali jika dia balik menjenguk mama bersama isteri dan anak-anaknya, pasti sekejap sahaja. Malah, makanan kegemaran adik Sarah itu yang mama masak langsung tidak dijamah oleh anak isterinya. Itu yang membuat mama amat terasa. Tetapi memandangkan mama amat sayangkan anak, dia diamkan sahaja. Sarah geram juga dengan adik Sarah yang seorang ini, tidak kiralah seberapa sayang pun pada isteri itu, tak bolehkah cakap dengan isteri tu,

TOLONG JAGA HATI MAK SAYA SEBAB KALAU DIA TAKDE SAYA PUN TAKDE. JADI KALAU TAK SUKA DIA UMPAMA TAK SUKA SAYA JUGA!

Err... cik Sarah, cuba berfikiran positif sikit. Mungkin dia laki bini sibuk bekerja, tak sempat nak singgah lama-lama waima nak menjamah sedikit pun. Sibuk? Hari Sabtu, hari Ahad pun sibuk? Tahu-tahu di waktu pejabat pada pagi Isnin si isteri telah memuatnaik gambar mereka sekeluarga bercuti. Agaknya jika Sarah buka mulut, bertambah terluka mama, haihhhhh

Apa yang pasti, balik petang ini sebentar lagi Sarah perlu balik rumah mama. Perlu bawa dia makan di luar malam nanti.

VERY TRUE :)


Assalamualaikum & selamat pagi Khamis buat semua. Haaa... nampak tak komik di atas? It sure does make my day today by reading it. Why? Memandangkan sekarang ini musim memancing undi, dan kebanyakkan di kalangan mereka yang 'fanatik' sangat taksub dengan parti masing-masing. 

Iya, kita perlukan pemerintah yang bersih. Tetapi dapatkah jaminan bahawa parti yang terpilih kelak akan lebih bersih dari yang pernah meneraju? Jadi, I rest my case. Just bear in mind, UNDI ADALAH RAHSIA. 

P/S: Don't Speak, tiba-tiba Sarah terasa nak 'humming' lagu dari No Doubt, huhuhu   



 

Monday, April 8, 2013

APAKAH YANG TERJADI?

Salam sayang semua. (Eh, terasa macam menyanyi lagu Sleeq / Aaron Aziz lah pula..hehe)

Bagaimana hari anda pada hari Isnin seperti hari ini? Banyakkah kerja di atas meja menanti? Banyakkah mesyuarat perlu dihadiri? Banyakkah temujanji perniagaan perlu ditepati? Haaa... sabarlah ye, sememangnya kita bekerja mencari rezeki untuk menjadi darah daging, jadi buat sehabis baik. Insya-Allah, diberkati & bertambah murah rezeki, insya-Allah. (Errr...cik Sarah kita sudah kembali sengetkah? apa benarkah? hehehe. Sila bersabar ye, tiba-tiba terasa kali ini posting hendak bermadah bunga-bunga begitu, alahai... :P)Akan tetapi, bagaimana pula dengan cik Sarah senget kita ini? Ya... Memandangkan bos Sarah akan berada di luar negara untuk perniagaan, jadi Sarah 'kurang sibuk' sedikit minggu ini. Alhamdulillah, dapatlah mengarang serba sedikit. Cuma adakala ada segelintir staf yang perlu diperhatikan, alah bisa tegal biasa bak kata pepatah. Iye-lah tu Sarah yer, suka sangat kan bos kamu tiada di pejabat sepanjang minggu, hehehe

Sebenarnya, pada asalnya Sarah mahu bercerita mengenai rancangan anugerah yang sangat 'gilang-gemilang' malam tadi. Alahhh, rancangan anugerah dari salah sebuah akhbar otai & terkemuka Malaysia tulah, yang mana hadiahnya mendapat sponsor yang sangat besar dari syarikat terkemuka dalam Malaysialah tu. Hadiahnya sangat lumayan kan? Apabila dilihat, terasa ingin pula menjadi artis popular. (eh Sarah, nak pulak kamu berdiri depan kamera berpegang-pegang, berpeluk-peluk demi dikenali ramai? Errrr... speechless apabila terfikirkan segala itu, huhuhu) 

Tetapi Sarah rasa, tidak perlulah disibukkan berkaitan artis-artis itu semua, mereka ada untuk memeriahkan dunia seni Malaysia. Apakah yang meriahnya? Meriah dengan kontroversi & perbagai gambar-gambar menjolok mata, begitu? Shhhhh... Nanti kata cik Sarah anti-artis Malaysia pula, isk mana ada. Sarah suka apa pada artis-artis Malaysia, ada yang sangat elok pekertinya, namun kalau yang sebaliknya... (dot dot dot, malas nak tulis lebih-lebih, sila fikirkan sendirilah yer..)

TEMAN: Hey babe, aku pening dengan husband aku ni...

SARAH: Eh, kenapanya?

TEMAN: Iyelah, aku beriya-iya membeli pakaian yang kurang menjolok mata dan kain-kain tudung semata-mata kerana aku mahu berhijrah dan aku harap sangat dia juga berhijrah, tapi dia pulak sibuk nak ajak aku pergi clubbing pada anniversary kami nanti.  

SARAH: Eh, dia bukan ajak orang lain pun kan...

TEMAN: Iyelah, itu aku tahu. Tapi masalahnya, takkan aku nak pergi clubbing tu bertudung litup babe? Adoiii... Sakit jiwa aku dibuatnya lah...!!!

Haa... Nampak tak conversation antara Sarah dengan seorang teman pada minggu lalu. Sarah mati akal nak fikir, sebab zaman sekarang, orang semakin meningkat umur, semakin menuju ke arah memperbaiki diri mereka, bukan semakin ingin mencuba segala perkara yang 'kurang' itu semua. Untuk pengetahuan teman Sarah ini nama sahaja orang bandar seperti Sarah, namun alhamdulillah berkat didikan serta perhatian keluarga yang tidak pernah kurang, tempat sedemikian tidak pernah dijejaki oleh kaki. 

Kasihan Sarah bila fikirkan teman Sarah ini, anak-anak semakin membesar, dia begitu beriya-iya mencari kain-kain tudung dari online, dari orang-orang pejabat yang ada menjual serta kedai-kedai yang ada menjual tudung. Namun, mungkin inilah yang orang kerap katakan, apabila kita mula menuju ke arah kebaikan, semakin kerap dan hebat dugaan mendatang yang mana mungkin Allah ingin melihat sejauh mana keikhlasan hati teman Sarah itu untuk berhijrah. Tetapi bukankah syurga seorang isteri pada tapak kaki suaminya? Jadi jika dalam situasi sebegini, bagaimana? Kalau si suami mahu isterinya tidak bertudung, bagaimana pula itu? Apa yang terjadi kini?

Haissss...  

P/S: Tiada kena mengena dengan bebelan, cuma suka tengok meow ni, COMEL :)


Saturday, April 6, 2013

SENYAP SUNYI SAHAJA CIK SARAH SENGET KITA

Salam sayang buat yang masih sudi singgah membaca meskipun kini Sarah kurang mencoretkan catatan yang terkini maupun luahan rasa seperti dulu. Kali ini Sarah ingin membebel mengenai pemandu, LAGI. Boleh? Haaa... boleh atau tidak, Sarah telah mengambil keputusan untuk membebel lagi mengenai tajuk yang sama. Haissss... (macam dah tiada idea lain kan? It's that obvious, right? Yeah right...!!!)

Kenapa ada segelintir pemandu yang teramat gemar memandu kereta mereka:

1. dengan sangat perlahan ( 40 kmj ) di jalan yang mempunyai had laju 60 kmj?
Sangat 'annoying' apabila ada pemandu yang SANGAT suka memandu dengan kelajuan ini. Sebabnya cik Sarah? Iyelah, dah memandu dengan perlahan itu, silalah ke lane kiri. Pemandu lain yang ingin tiba ke destinasi mereka dengan 'selamatnya' perlukan laluan kanan untuk meneruskan perjalanan. Bukannya kami minta untuk anda menambah kelajuan pun, haisss

# think positive cik Sarah: mungkin kenderaan pemandu itu bermasalah, jadi kelajuannya memang tidak dapat pergi lebih dari itu, mungkinkah...?

2. apabila telah tiba di simpang untuk masuk baru mahu memberi isyarat?
Serius ini satu lagi masalah dengan pemandu masa kini. Berat sangatkah tangan di stereng itu untuk menekan lampu isyarat ke kiri atau pun ke kanan apabila anda hampir tiba ke destinasi anda? Tolong boleh tak? Terutama pemandu yang 'amat malas' sebegini agar 'rajinkanlah' memetik suis lampu isyarat itu agar kami para pemandu yang badan keletihan kerana bekerja sepanjang hari di belakang anda dapat meneruskan perjalanan dengan selamat. Boleh tak?

3.  menghimpit kenderaan yang telah lama beratur di dalam kesesakan?
Ini kerap berlaku apabila mereka ternampak pemandu di dalam adalah pemandu wanita. Betul-betul sakit jiwa tahu tak? Kita dah beratur dengan penuh sabar, menunggu giliran untuk melepasi kesesakan yang adakala boleh buat kita naik angin, tiba-tiba datang satu 'muncung' kenderaan cuba 'mencucuk' masuk untuk memotong barisan dari tepi. Eiii... Terasa seperti muka bakal berubah dari riak bersahaja kepada rupa yang bakal menakutkan. 

Sekali lagi wahai para pemandu yang merasakan diri itu 'teramat' hebat di jalan raya, tolonglah... Tolong berhemah ketika memandu. Jangan harap orang di dalam kenderaan lain faham apa yang anda ingin lakukan ketika memandu, kerana tiada seorang pun tahu kecuali diri anda sendiri. Jadi, sila patuhi tataterbib ketika memandu dan paling penting sekali lagi, BERHEMAH yer...


P/S: Serius letih untuk membebel mengenai pemanduan lagi. Penat tau! o_O


  
 

Thursday, March 7, 2013

TIDAK PERNAH TERLINTAS PUN

Salam sayang buat yang masih sudi singgah membaca omelan Sarah yang senget di ruangan bebelan kesayangan Sarah ini. Maaflah, kuantiti semakin berkurangan. Ketiadaan idea untuk menulis meskipun banyak topik yang sering berlegar-legar di kotak fikiran, namun ketiadaan inisiatif diri untuk menekan papan kekunci untuk memulakan ayat pertama membuatkan keadaan tersebut berlarutan. Fuhhh... Panjang betul mukadimah Sarah kali ini kann..? Skema sangat, betul tak? Hehehe... (Sila abaikan, memandangkan emosi sedang bercelaru dan tidak dapat dikenalpasti apakah punca sebenar :P )

Baiklah, kali ini Sarah ingin membebel tentang SESAL. Aik? Lain macam aje bunyi posting cik Sarah kita kali ini? Sedang mengalami rasa yang tersebut kah, cik Sarah ooiiii...? Mungkin ya, mungkin tidak. Terserah minda masing-masing untuk menilai bebelan Sarah ini. Kerana setiap orang punya fikiran masing-masing, jadi jika rasa topik ini membuang masa sahaja, dipersilakan.

" Awak tak menyesal ke berkawan dengan saya? "

Masih lagi Sarah ingat diajukan soalan tersebut oleh seorang teman baik Sarah, yang mana sehingga kini fikiran Sarah ini bingung memikirkan soalannya itu. Yalah, boleh bayangkan tak bagaimana kita begitu ikhlas berkawan dengan sesiapapun tanpa mengira rupa, agama maupun bangsa tiba-tiba diajukan persoalan begitu? Tidak pernah terlintas walau sebesar kuman pun, tetapi tiba-tiba soalan itu terkeluar dari mulutnya. Seolah-olah menunjukkan diri tidak yakin akan diri sendiri? Benarkah? Apa benarkah ada orang yang mempunyai perasaan sedemikian? Setelah bertahun-tahun kenal dan berkawan, kenal hati budi masing-masing bagaimana rupanya masih punya rasa sangsi begitu. Mengapa? Apa yang disorokkan dari pengetahuan? Serius Sarah bingung. Sebab apa? Sebab teman Sarah seorang ini Sarah kenal hitam putih sejarahnya semua, namun itu semua adalah kisah hidup masing-masing. Tidak perlu dinilai dari sejarah, tetapi tingkah laku di samping kita apakah seiring dengan sejarah dahulu atau semakin membaik. Betul tak?

Bohong jika Sarah katakan sepanjang hidup ini tidak pernah punya perasaan sesal itu. Sesal kerana kehidupan yang dijalani tidak seiring dengan harapan tersimpan. Benar, memang pernah ada sekelumit terselit rasa tersebut suatu masa dulu. Namun, perjalanan hidup yang penuh liku mendewasakan kita. Setiap kejadian ada hikmahnya. Jika diratap berterusan, pasti musnah jiwa halus didalam diri. Perlu diasah jiwa dengan mendekatkan diri padaNya, Dia yang maha mengetahui, telah tertulis setiap satu kisah untuk kita. Bergantung pada diri masing-masing untuk memastikan kisah kita setiap satunya menuju ke arah yang lebih baik dari dulu.

Berbalik pada soalan teman Sarah ini, jawapan untuk kamu,
(hanya jika dia ada membaca)

"Tidak. Tetapi adakah soalan itu untuk diri awak sebenarnya?"

Tuesday, January 22, 2013

MY BEST PAL IS BACK IN TOWN, yippiee

Tak pasti apakah perasaan Sarah kini. Sangat gembira kerana petang semalam telah bertemu kembali dengan teman baik sewaktu di tingkatan 4 & 5 di laman FB. Dan bila kami sambung berborak seterusnya di whatsapp, serius Sarah sangat rindu padanya. Terasa seperti berkurun lamanya tidak bertemu dengannya, dan insyallah jika panjang umur Sarah ingin bertemunya dan bergosip seperti dahulu.

#Missed you so much babe, wish you were here like we're used to be. Love you. :)

Monday, January 7, 2013

SPEAK SOFTLY LOVE, lagu tema THE GODFATHER

Watch "The Godfather Theme Song" on YouTube

Salam sayang buat yang masih sudi meluangkan masa singgah membaca bebelan Sarah yang semakin senget mungkin..? Dan sejujurnya, sengetkah Sarah kini? Atau semakin berkurang kesengetannya..? Isk...sila tepuk dada, tanya akal masing-masing ye..huhuhu

Kali ini, Sarah ingin bercerita mengenai 'kegilaan' Sarah pada lagu SPEAK SOFTLY LOVE iaitu lagu untuk tema filem The Godfather. Sesungguhnya sejak 2-3 hari yang lepas, Sarah amat ketagih untuk mendengar melodi dan muzik bagi lagu yang tersebut, entah kenapa pada pemikiran Sarah yang sedikit senget mengatakan bahawa dalam setiap manusia yang keras terdapat taman yang begitu indah dalam jiwa mereka. Kenapa? Tak percaya? Jadi mengapa filem The Godfather ini, watak utamanya Micheal (yang bermula sebagai anak yang tidak mahu menceburkan diri dalam bidang gangsterisma, terpaksa memikul tanggungjawab mengganti tempat ayahnya gara-gara situasi sekelilingnya yang memaksa), digambarkan sebagai seorang yang amat digeruni dek kerana sifat tiada belasnya, namun ternyata sifat romantis dalam jiwanya begitu indah sekali. Itulah yang cuba ditunjukkan oleh penulis cerita ini tentang bagaimana sifat manusia dalam diri amat membingungkan. Dalam kekasaran dan kekerasan, sebenarnya mereka lebih halus dari orang yang lemah lembut.

Eh, betul ke? Dah merepek pula cik Sarah senget kita. Baiklah, perlu mengundur diri dulu sebelum membebel lagi yang bukan-bukan ye...

Sarah.

Thursday, January 3, 2013

POKOK CIKU MAMA

Nampaknya pokok ciku mama yang rendang, begitu banyak buahnya. Tapi sayang, Sarah tak 'pandai' makan buah ciku, huhuhu. Sampaikan ada yang bertanya kenapa tak pandai makan pulak? Haaa... Dalam erti bahasa biasa ialah, Sarah memang tak makan buah yang tersebut. Malah hampir kesemua adik beradik Sarah tak makan buah ciku. Entah kenapa, mungkin sewaktu kecil keluarga Sarah jarang 'menkomersialkan' buah tersebut kepada anak-anak. Makanya, bila dah besar panjang semua, dah jadi seperti orang 'jakun' tak pernah makan buah ciku. Kesian kannn...

#Mama sedekahkan buah ciku yang masak ranum pada jiran tetangga. :)
##Sedap ke buah ciku tersebut?