Tuesday, June 1, 2010

Umi, maafkan Along...Bukan Along tak mahu...




"Along, sampai bila kamu nak bermain dengan si Irfan tu je? Tak teringin ke anak sendiri? Kamu tu pun bukannya makin muda Long"

Aduh... Sekali lagi aku diserang Umi ku malam tadi. Seperti biasa, ayat-ayat ini membuat aku serba-salah dan kelam kabut. Kenapa? Apa aku nak bagi jawapan? Dah berkali-kali aku diajukan soalan tersebut, dan berkali-kali jugalah aku cuba menepisnya dengan berbagai alasan. Adakah aku pernah kecewa sehingga cuba mencari alasan untuk tidak berusaha mencari seseorang? Atau aku sedang menunggu seseorang? Aku tidak akan menjawab persoalan tersebut, sebaliknya biarlah ianya menjadi rahsia antara aku dan Allah swt. Sesungguhnya hanya padaNya aku mengadu dan padaNya jugalah aku berserah akan jodoh dan ajalku, sekiranya telah tertulis esok tiba seseorang iaitu jodohku, maka aku terima. Dan begitu jugalah dengan ajalku. Tetapi, harus diingat 'seseorang' ini haruslah mampu membimbing aku di dunia ini seterusnya sehingga akhirat. Adakah insan sedemikian? Insyallah ada, mungkin. Cuma pada mata kasar aku, pada fikiran aku, seperti biasa alasan yang sering aku berikan pada Umi,


"Nanti lah Umi. Along belum sedia untuk memikul tanggungjawab yang amat besar ini lagi. Lagipun Ain, Alang dengan Usu kan sekolah lagi tu. Siapa nak tolong tengok-tengokkan sekolah diorang tu? Cukup ke tidak, buku lengkap ke tidak..."

Sekali lagi alasan yang sama aku berikan pada Umi. Umi hanya menggelengkan kepala mendengar alasan yang sama aku berikan kepadanya buat yang entah keberapa kalinya. Bukan aku mahu memberi reaksi yang negatif sebegitu apabila setiap kali dia bertanya padaku akan persoalan serius sedemikian.

Sesungguhnya aku seorang wanita, sudah pasti dalam kepingan hati kecil ku ini ingin memiliki sebahagian lagi kepingan hati yang ada pada sang adam. Cuma, apabila tiba bahagian untuk meneroka hidup dalam sesebuah perhubungan untuk mendapatkan kepingan tersebut membuatkan aku tersentak sendirian memikirkan sendiri, mampukah aku mengharunginya? Mampukah aku, yang selama ini kelihatan begitu tabah dari luar menongkah arus pasang surut di dalam sesebuah perhubungan itu nanti?

Betapa takutnya dan seriknya Sarah kedengarannya, kan? Ya, inilah seorang insan bernama Sarah. Aku berkemampuan untuk ke mana sahaja, jika di arahkan bertugas hingga ke Kutub Selatan sekalipun, waima ke ceruk rantau mana sekalipun, aku tahu aku mampu melakukannya demi satu amanah untuk menyelesaikan tugas. Akan tetapi, jika ianya berkaitan emosi dan perasaan, aku bimbang dan ragu. Bimbang aku tak mampu melaksanakannya sebaik mungkin, ragu aku tak mampu untuk mengharunginya. Seolah-olah dia ni seperti pernah dikecewakan. Jika itu tanggapan kalian, silakan. Mungkin juga ya, mungkin sebaliknya.

Walau apapun pandangan kalian terhadapku kini, padaku, hanya padaNya tempat aku mengadu tangisku dan tawaku. Sesungguhnya pengabdianku padaNya dikala sunyiku, adalah saat-saat yang paling damai, saat diri terasa amat disayangiNya ku rasakan. Maka, usahlah kalian cemburu akan rasa ku ini.

Umi, maafkan Along. Along tahu Umi mahu lihat Along hidup bahagia seperti Angah, tetapi Along belum bersedia melepaskan tanggungjawab Along buat masa ini. Biarlah Along tangguhkan dulu segala berkenaan Along sehingga suatu masa yang sesuai.



No comments:

Post a Comment