Friday, June 18, 2010

Perlukah berjanji? Jika akhirnya...



Kenapa perlu berjanji jika tahu akan kemampuan diri dalam melaksanakan janji itu? Mengapa perlu bersumpah setia jika tahu bahawa Tuhan yang menentukan segalanya? Bukankah lebih elok jika mulut itu hanya menyebut,

"Insyallah..."

Maaflah, 'teremosi' sikit entri kali ini. Bukan apa, aku kasihankan seorang teman sepejabat yang baru kecewa dalam percintaannya. Sedih bila terlalu mengharapkan janji ditabur tidak ditepati. Janji ditabur untuk sehidup semati, untuk mengambilnya sebagai suri hidup. Walau berjanji bersumpah setia sehebat manapun, namun sebagaimana yang kita ketahui bahawa Allah itu maha mengetahui. Kita hanya mampu merancang, Dia yang menentukan.

"Aku sedih Sarah, dia dah janji akan ambil aku sebagai isteri. Tapi..."


Aku terkedu bila teman aku yang seorang ini mengadu akan duka lara dihatinya beberapa hari lalu. Aku bersimpati akan nasibnya, ditinggalkan sang pujaan hati. Sedang cuba merawat luka sendirian, kini. Aku menarik nafas panjang, lalu aku cuba memikirkan ayat yang sesuai untuk aku luahkan agar tidak menambahkan lara dihatinya,


"Sabar sahajalah Maya. Setiap sesuatu perkara yang berlaku itu, pasti ada hikmah disebaliknya. Mungkin dia bukan jodoh terbaik untuk kau. Aku yakin, ada yang lebih baik darinya untuk kau di luar sana. Sabar ya..."


aku cuba menjadi sahabat yang menyejukkan hati teman-temanku, walaupun pada dasarnya hati aku turut sakit mendengarkan masalah mereka. Macamana pula aku yang turut sama sakit? Kerana aku pernah berada di sana, di 'sektor' yang menyakitkan begitu. Bertahun-tahun aku cuba meyakinkan diri aku dan hati kecilku bahawa ada yang lebih baik menantiku. Cuma, aku perlukan masa untuk menemuinya (walaupun aku kurang yakin waktu itu), dan sudah aku temuikah? Biarlah itu menjadi rahsia hatiku.


Berbalik kepada temanku ini, dia seorang yang amat kuat. Kerana walaupun dia bergelar bekas isteri kepada seorang lelaki, tetapi adakah itu menjadi pengukur bahawa dirinya ditolak mentah-mentah oleh 'bakal mertua yang tak jadi ini'?


"Aku sedih Sarah. Dia bermati-matian mengatakan bahawa dia ingin mengambil aku sebagai isteri. Tapi, ibunya tidak bersetuju kerana status aku. Hanya kerana status JANDA aku ni! Kenapa Sarah? Kenapa masih ada orang berfikiran macam tu lagi di zaman ini?"


Serta-merta aku terbayangkan kisah Rita Rudaini yang kahwin di sempadan. Sampai perlu jadi begitukah? Kerana tiada restu dari keluarga lelaki kerana status JANDA Rita, mereka ambil jalan nekad begitu. Perlukah? Aku tidak mengatakan wajar tindakan sesetengah orang masih menitikberatkan status bakal menantu mereka, tetapi itu hak mereka. Setiap orang ada pendirian mereka sendiri.


Jadi, apa kena mengena janji dengan semua ini? Si pujaan hati dah berjanji walau apa pun terjadi, dia tetap akan mengambil temanku ini sebagai isteri. Akan tetapi, dalam masa yang sama dia telahpun ditunangkan dengan gadis lain yang telah ditetapkan keluarga. Yang mana, hanya tinggal beberapa bulan sahaja berlangsung majlis pernikahan mereka.


"Apa yang akan kau perolehi dari kuat memegang janji seorang manusia Maya? Kau beritahu aku sekarang, aku nak tahu. Rasa puas hatikah jika kau sudah bergelar 'isteri kedua' nanti? Puas hatikah engkau jika isterinya nanti tahu bahawa suaminya pernah 'terikat' dengan janjinya itu sehingga dia perlu menunaikannya?"


aku tak tahu kenapa tiba-tiba aku ingin memberi pandangan yang paling jelas buat teman aku ini. Apabila dia mula bercerita bahawa buah hatinya sudah bertunang, sudahpun menghadiri kursus perkahwinan, aku mula berfikir: Jika sudah lalui semua itu, bermakna mahu atau tidak, majlis itu tetap berlangsung dan aku yakin sebagai anak lelaki yang mahu menjaga hati ibunya, pasti dia tidak mahu menjadi anak yang derhaka.


"Atau kau mahu tunjukkan pada ibu dia bahawa kau pun tak kurang hebat bila berjaya menjadi isteri dia?"


Agak kasar ayat aku kini. Kenapa? Sebab aku berpegang pada prinsip, tidak perlulah dikejar barang yang sudah tentu ternyata bukan milik ku. Sudah tertulis bahawa barang itu milik orang lain, maka jauhkanlah diri. Janganlah sekali-kali cuba dekati. Dalam kes teman aku ini, umpama namanya sudah tidak tercatat pada barang itu, jadi sepatutnya dia mula mengatur langkah ke jalan lain agar dapat dia cari barang lain yang belum menjadi milik sesiapa di jalan baru itu. Dan jika boleh, aku mahu dia fahami bahawa dunia ini luas terbentang, tak perlulah dia sempitkan pemikiran memikirkan sang pujaan hati yang telah pun 'dilakarkan' nama pemiliknya itu.


"Sudahlah Maya, jangan kau peningkan fikiran dia lagi. Kau tak kesiankan dia ke? Biarlah dia. Kau lepaskan dia dari janjinya. Jika kau lah bakal isterinya yang langsung tak tahu menahu tentang janji bakal suami kau itu, bagaimana rasanya kau fikir? Mesti kecewakan? Sebab kau melihat bakal suami kau seorang yang amat bertanggungjawab sebab mahu menjadi suami, tetapi ada pula janji dengan seseorang yang tak dapat dia tepati. Alangkah kasihannya..."


Baiklah, sampai situ sahaja. Aku tak mahu panjangkan kisah sedih ini. Buat aku sesak nafas memikirkan:


1. janji - jika berjanji dengan seikhlas hati, ok. Tapi jika kena paksa untuk berjanji?


2. tepati janji - alhamdulillah bagi yang mampu tunaikan janji mereka. *Alangkah bahagianya jika betul semua janji dapat ditepati.


3. mungkiri janji. - bagi yang berjanji dengan keikhlasan hati, pasti sakit untuk memungkirinya. Bagaimana dengan mereka yang di paksa untuk berjanji?


Nota untuk diri sendiri: Mudahkah untuk berjanji? Pastikan diri mampu untuk menunaikan janji itu sebelum setuju untuk berjanji kerana apabila harapan menggunung diletakkan terhadap sesuatu janji itu punah, maka punahlah kepercayaan.



1 comment:

  1. betul..tu.. kerbau pegang pada tali, manusia berpegang pada janji.. Tak semua yang kita impikan akan menjadi kenyataan.. Kadang kala kita berjanji tapi adakalanya janji itu tak dapat dilaksanakan.. jadi terimalah qada' dan qadar..

    ReplyDelete